Tuesday, August 12, 2008

Tong gas meletup



REMUK...keadaan kereta yang berkecai akibat letupan
tong gas, malam tadi.

CHERAS: Pelanggan sebuah pam minyak yang sedang mengisi petrol ke dalam kenderaan masing-masing lari bertempiaran apabila mendengar bunyi letupan dari pam gas asli kenderaan (NGV) bersebelahan.

Difahamkan letupan yang berlaku pada jam 10.40 malam tadi di sebuah stesen minyak di Batu 5 Jalan Cheras berhampiran pusat beli-belah Leisure Mall di sini, berpunca daripada tong gas memasak yang disimpan dalam but sebuah kenderaan yang mengisi NGV di stesen itu.

Menurut pemilik kenderaan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Yong, 45, letupan itu berlaku selepas lima minit dia mula mengisi tangki NGV di belakang keretanya sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat yang meranapkan belakang kenderaan jenis Nissan itu.

“Saya bernasib baik, ketika kejadian saya berada di hadapan jika tidak pasti saya akan parah akibat serpihan besi daripada letupan kuat itu.

“Saya tergamam dan terpaksa meniarap, risau jika berlaku letupan susulan bagaimanapun bangun beberapa minit kemudian selepas mendapati keadaan selamat,” katanya ketika ditemui.
Yong mendakwa dia terpaksa menyimpan tong gas memasak terbabit dalam but kenderaannya apabila tidak sempat untuk menghantarnya pulang ke rumah selepas dia menukarnya di kedai pada sebelah pagi.


Dia yang dalam kebingungan dengan kejadian itu kemudian menghubungi isteri bagi memaklumkan kejadian yang hampir meragut nyawanya serta meranapkan kereta yang baru tiga bulan menggunakan sistem NGV itu.

Sementara itu, pekerja stesen minyak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Ali, ketika kejadian dia bertugas di kaunter apabila tiba-tiba mendengar letupan kuat dan gegaran.

Berikutan kejadian itu, perkhidmatan di stesen minyak berkenaan dihentikan seketika manakala khidmat untuk mengisi NGV ditangguh sehingga pemeriksaan keselamatan selesai dijalankan.

No comments: